Perodua Myvi jimat minyak – mitos atau realiti?
5 (100%) 3 votes

Kereta Perodua

Kereta Perodua

Selain daripada kecantikan rupa bentuk sesebuah kereta, faktor utama yang seringkali menjadi pilihan utama sebelum membeli sesebuah kereta ialah faktor penjimatan minyak petrol. Harga petrol yang kian meningkat saban tahun telah menjadikan model-model kereta yang mempunyai enjin jimat minyak sebagai pilihan utama berbanding kereta yang kurang mesra penjimatan petrol.

Perodua Myvi seringkali menjadi kebanggaan setiap pemiliknya kerana dikatakan sebuah kereta yang menjimatkan minyak petrol, tidak kira daripada versi manual ataupun auto. Benarkah Perodua Myvi sebuah kereta jimat minyak, atau itu hanya mitos semata-mata? Secara logiknya, jika ramai pemilik Myvi mengeluarkan kenyataan seperti itu, bermakna ada kebenarannya bahawa Perodua Myvi adalah kereta yang menjimatkan petrol.

Kebanyakan pemilik-pemilik Perodua Myvi pernah memiliki kereta lain sebelum itu, jadi mereka dapat membuat penilaian antara Perodua Myvi dengan kereta daripada lain-lain model. Mungkin penilaian yang dibuat itu antara kereta keluaran Proton seperti Proton Wira, Proton Waja, Proton Gen2, ataupun daripada kereta keluaran syarikat automotif Jepun, Korea dan Eropah.

Jika dilihat spesifikasi enjin Perodua Myvi yang berkapasiti 1.3 liter, DOHC 16 injap, DVVT dan EFI, enjin jenis tersebut diakui oleh pengeluarnya iaitu Perodua sebagai enjin yang menjimatkan petrol. Dengan berat sebuah Perodua Myvi yang ideal dengan nisbah yang dihamburkan oleh kuasa enjin, ada logiknya Perodua Myvi menjadi sebuah kereta yang menjimatkan minyak petrol. Mengikut hukum fizik, nisbah kuasa dan berat yang ideal bagi sesebuah kenderaan, ditambah lagi dengan teknologi moden pada sesebuah enjin mampu menjimatkan petrol ke tahap yang maksimum.

Mengikut pengalaman saya sendiri yang memiliki sebuah Perodua Myvi 1.3 Auto, penggunaan petrol bagi kereta tersebut adalah pada tahap yang cukup memuaskan. Perodua Myvi tersebut yang diisi petrol bernilai RM 10.00 (harga petrol RON 95 ialah RM 1.80 sen) boleh dipandu sehingga sejauh 80 km, adakalanya mencecah sehingga 90 km jaraknya. Ada pendapat yang mengatakan Perodua Myvi Manual lebih menjimatkan petrol berbanding model auto.

P/S : Artikel ini ditulis pada tahun 2010, harga minyak sudah berubah 🙂

Sumber : Arena Kereta

 

(20624) Views