myvi baru new facelift
Jom ikuti review Azimah Ghazali dari ruangan Stailo @ Sinar Harian.

MYVI baharu dilancarkan 15 Januari lalu. Penulis bersempatan memandu ujinya baru-baru ini. Pasti ramai menunggu komen mengenai Perodua Myvi baharu ini.

Melihat luarannya, stail dan kosmetiknya lebih menarik. Apalagi penulis mendapat varian pandu uji tertinggi Myvi 1.5L Advance automatik.

Pada bahagian hadapan, gabungan bampar dan gril plastik hitam honeycomb hadapan tampak lebar, garang dan sporty. Bampar hadapan dengan lampu kabus menyerlahkan reka bentuk hadapan.

Projector headlamps berserta guide lights rekaan terkini turut terserlah dalam jentera warna Biru Elektrik ini.

Rim aloi 14 inci reka bentuk lingkaran tampak menarik.

Bahagian belakang turut mendapat sentuhan kemasan gril hitam di bampar. Rear spoiler lebih aerodinamik dan lampu LED (clear lens) menambah gaya.

Bagi penulis, keseimbangan jentera dengan kemasan krom seperti pada lencana Perodua, sisi badan sebelah bawah, paip ekzos dan pada pemegang pintu, menyerlah gaya penarik Myvi baharu ini.

Beralih ke bahagian dalam kabin, ia turut mendapat sentuhan krom pada corong dan butang pelaras pendingin hawa, pintu dan papan pemuka. Ruang ditawarkan tampak luas. Tempat duduk semi bucket, stereng dan gear dibaluti kulit hitam, ‘secalit’ jalur dan benang merah pada kerusi hadapan.

Selain dari perubahan luaran, ketara dilihat tambahan aksesori dan peningkatan pada bahagian dalaman Myvi terbaru ini yang ‘diadaptasi’ daripada saudaranya Axia.

Antaranya adalah cup holder di kanan panel meter, penyangkut anti ragut di tepi kerusi penumpang hadapan, sistem multimedia dan navigasi terbaharu yang disertakan dengan kamera undur dan sensor hadapan untuk kemudahan/ keselamatan semasa membelok.

Tidak keras

Tempat duduk pemandu dilaras secara manual. Pandangan penulis berketinggian 160 sentimeter ini tampak luas melalui cermin hadapan.

Pertama memandu, terasa kuasa enjinnya dengan hanya sedikit pedal pendikit ditekan. Penulis gemarkan bunyi enjinnya tidak ‘mengaum’ bila perlu memaksa tekanan pedal minyak terutama ketika memotong.

Bunyi enjin 3SZ-VE DOHC, 16 injap dengan enjin berjujukan injap dinamik (DVVT) nya masih lembut didengari dari dalam kabin. Untuk pengetahuan, Myvi baharu ini masih mengekalkan spesifikasi enjin 102 hp (136 Nm) 16V.

Untuk hari berikutnya, Myvi baharu ini lebih teruji kali ini dengan tiga dewasa dan tiga kanak-kanak. Tiada masalah mengisi kargo comel jentera ini dengan beg dan kelengkapan untuk dua hari kesemua penumpang.

Ruang masih selesa memuatkan penumpang yang bersaiz sederhana. Biarpun stereng rasa berat terutama di selekoh, namun masih stabil pada laluan lurus.

Dengan bar penuh pada meter petrol menunjukkan perjalanan boleh sejauh kira-kira 353 kilometer, penulis mampu sampai ke Teluk Intan-Ipoh dan seterusnya kembali ke ibu negara dengan pengisian semula petrol RM20.

Bar di meter menunjukkan masih ada baki setengah tangki petrol. Bagi penulis penggunaan bahan bakar jentera ini memang menjimatkan. Ia tetap kompak praktikal dan comel!

Sumber : Sinar Stailo

(2501) Views